Allahyarham Shadi Asaad sanggup meninggalkan kehidupan selesa di luar negara sebagai ahli perniagaan dan kembali ke Syria menjadi sukarelawan.
OLEH RAZALI AWANG

Ketika rakyat Syria bangkit menuntut hak mereka daripada regim Bashar al Assad pada 2011, Shadi Asaad adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berada di luar negara.

Bagaimanapun kerana terkesan dengan keganasan yang diperlakukan ke atas orang awam, dia nekad untuk kembali ke tanah air. Dia berazam turut berjuang dan menuju ke bandar kelahirannya, Idlib bagi membantu mangsa yang cedera dan terperangkap dalam serangan.

Sejak lebih lapan tahun lalu, dia tidak pernah menoleh lagi. Siang dan malam, hidupnya diabadikan untuk kerja sukarela itu.

Dia melakukan tugasan dalam apa juga keadaan sehingga dalam kalangan rakan-rakan setugas serta penduduk sekitar dia diberi gelaran Shadi al Isaaf atau ‘Shadi ambulans’ kerana dia menjadi orang yang pertama sampai apabila berlaku sebarang musibah akibat serangan tentera regim dan sekutunya, Rusia.

Komitmennya terhadap kerja-kerja kemanusiaan bersama White Helmets telah membantu menyelamat ribuan nyawa.
Namun semalam (15 Januari 2020), adalah kali terakhir orang ramai melihat kelibat Shadi sebelum dia sendiri menjadi korban serangan.

Ambulan yang dinaiki Shadi menjadi sasaran bom yang turut meragut nyawanya semalam.

Shadi terbunuh ketika cuba menyelamat orang awam. Ambulans yang dinaikinya menjadi sasaran bom ketika dia dan rakan setugas menyelamatkan mangsa di sebuah pasar di tengah bandar Idlib.

Advertisement

“Hari ini kami meratapi kehilangan seorang wira. Shadi al Asaad, sukarelawan White Helmets yang terbunuh dalam serangan di sebuah pasar di bandar Idlib”, tulis The Syria Campaign di laman Facebooknya.

Seakan tahu ajalnya akan tiba, dia pernah memuat naik status di laman Facebook dan menegaskan akan meneruskan tugasan sebagai sukarelawan kemanusiaan sehingga ke penghujung hayat.

Dia berharap pengorbanan yang dilakukan akan menjadi teladan kepada tiga anak-anaknya yang masih kecil.

Semalam Allah memakbulkan permintaan Shadi. Di mata kasar kematiannya begitu menyayat hati. Namun di sisi lain, ia satu kemuliaan kerana sanggup menggadai nyawa sendiri demi membantu orang lain.

Semoga kematiaannya diterima Allah sebagai seorang yang syahid.

Kini selepas ketiadaan Shadi, isteri dan anak-anak hilang tempat bergantung dan melimpahkan kasih sayang.

Pada masa yang sama isteri dan anak-anak berbangga kerana Shadi berkorban untuk menyelamatkan orang awam yang sedang diratah oleh pemimpin sendiri dan sekutunya.

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care yang menulis untuk KUSEMAN.COM
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *