Ibu kota negara kita telah dipilih oleh Unesco sebagai Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) bermula April ini hingga April 2021.

MENGIKUT perancangan asal, pelancaran Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) akan diadakan pertengahan April ini.  Kuala Lumpur telah dipilih oleh Unesco sebagai kota buku dunia bermula April ini hingga April tahun depan.

Bagaimanapun disebabkan wabak Covid-19 yang memuncak di negara ini dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini,  pelancaran acara yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur itu mungkin ditunda pada masa lain.

Bagaimanapun tahun 2020 adalah milik Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia.  Mengambil semangat itu, tentunya banyak dalam kalangan kita mengisi 18 hari PKP dan meneruskan hingga 14 April dengan kegiatan membaca buku. 

Buku menjadikan keadaan kita yang terkurung di sekitar kawasan rumah tidak membosankan.  Buku membawa kita keluar dari kurungan merentasi garis geografi, diplomatik dan budaya.  Buku bagi seorang penggemar adalah sebuah dunia di mana kita akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baru dalamnya.

Jangankan PKP atau Covid-19,  penjara sekalipun tidak mungkin dapat menghalang seorang pembaca buku untuk keluar jauh mengembara hingga tidak terjangkau luas dan jauhnya.  Dunia yang dituangkan dalam buku sangat abstrak sifatnya – rugi sekiranya kita tidak menyelami luas dan dalamnya lautan pengalaman itu.

Biarlah kalau sekiranya membaca  hanya eskapisme untuk mengisi masa dalam kurungan.  Musah-mudahan gaya hidup ketika keadaan yang membosankan ini menjadi bersinar selepas ini apabila buku terus menjadi teman. 

Barangkali sebelum ini tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian. Diharapkan pengalaman ketika berada dalam kurungan menjadikan seorang pembaca yang tidak dapat berenggang lagi dengan buku selepas ini. 

Dalam keadaan terkurung  sekitar radius 10 kilometer ketika ini dan tidak banyak buku di rumah. Tetapi itu sebenarnya bukan satu masalah. Memang benar semua perpustakaan ditutup tetapi perpustakaan maya terus dibuka untuk sesiapa sahaja mengakses buku digital.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) misalnya menawarkan sebanyak 13.2 juta bahan bacaan digital secara percuma sepanjang perlaksanaan PKP. Sekiranya sebahagian daripada warga mengambil peluang yang ditawarkan PNM sepanjang PKP ini,  ia menjadi satu permulaan yang baik meningkatkan budaya membaca.

 Dengan penembusan Internet yang tinggi iaitu sekitar 80 peratus, mengakses bahan bacaan digital tentunya tidak menimbulkan masalah. Cuma halangannya ialah apabila ada kajian menunjukkan  secara purata pengguna  Internet menghabiskan masa berbelanja dalam talian. Tetapi tidak ada pula masa yang pengguna peruntukkan untuk mengakses bahan bacaan.  Kalau ada pun mungkin  terlalu kecil.

Lagi mendukacitakan lagi apabila kajian mendapati secara purata pengguna Internet menghabiskan masa dua jam 59 minit sehari untuk mengakses media sosial. Ini disebabkan kedudukan Malaysia pada kedudukan keempat di dunia dalam penembusan media sosial mudah alih.

Maka yang perlu dilakukan sekarang adalah  menyuntik kesederan untuk beralih daripada tabiat ketagih media sosial terutama Facebook serta grup komuniti maya menerusi Whatsapp kepada membaca buku secara digital.  

PNM misalnya telah membangunkan kemudahan apabila mendigitalkan 13.2 juta bahan bacaan untuk diakses dengan peranti yang paling popular – telefon pintar. Sekarang ini perpustakaan bukan lagi bangunan yang menghimpunkan buku  tetapi juga menyediakan khidmat membaca secara digital – di mana-mana dan bila-bila sahaja.

PKP dan wabak Covid-19 bukan penghalang pada KLWBC2020,  penglibatan setiap warga di negara ini khususnya Kuala Lumpur menjadi penanda aras kejayaan yang meninggalkan kesan berpanjangan. Pertingkatkan budaya membaca bukan untuk menghidupkan industri perbukuan.

Sebaliknya industri perbukuan hidup kerana tahap membaca yang tinggi dalam kalangan warga. KPWBC2020  bertujuan menyemarakkan budaya membaca.  Apabila buku menjadi permintaan yang tinggi,  dengan sendiri industri perbukuan akan turut berkembang.

Maka, dalam keadaan tidak boleh bergerak jauh dari kediaman ketika ini sangat sesuai untuk memulakan bagi yang belum menjadikan membaca sebagai satu gaya hidup. Yang membezakan antara seseorang individu dengan yang lain bukan kereta atau rumah besar tetapi buku-buku terbaik yang dibaca. – kuseman.com

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *